SANDAKAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) akan mengumumkan senarai penuh calon bagi Pilihan Raya Negeri Sabah pada 13 November ini di Palace Hotel, Kota Kinabalu, iaitu dua hari sebelum hari penamaan calon.
The Star semalam memetik Timbalan Presiden PKDM, Datuk Wetrom Bahanda sebagai berkata setakat ini, parti itu telah memuktamadkan 37 kerusi, manakala beberapa kerusi lain termasuk kawasan utama di Sandakan sedang diteliti berdasarkan sentimen akar umbi.
Kepimpinan PKDM kini mengadakan pertemuan dengan kumpulan-kumpulan penting di Sandakan, khususnya persatuan perniagaan dan sekolah Cina, bagi membina hubungan sebelum membuat keputusan akhir.
“Kami mahu memperkenalkan hala tuju kami terlebih dahulu sebelum membuat keputusan bertanding,” kata Wetrom.
Beliau juga berkata sokongan awal masyarakat Cina di Sabah dilihat memberangsangkan, dengan ramai menunjukkan minat terhadap parti tempatan.
Antara tokoh Cina yang dikenal pasti sebagai calon ialah Ricky Hong (Sri Tanjong) dan Roger Voo (Kemabong).
PKDM, yang ditubuhkan pada 2022, sebelum ini merupakan penyandang kerusi Melalap dan Bandau sebelum Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
Wetrom menegaskan PKDM akan bertanding secara solo dan hanya mempertimbangkan kerjasama selepas pilihan raya jika perlu, sambil menyatakan parti itu kini mendapat sokongan lebih meluas daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Bajau dan Cina.
Beliau turut mengumumkan jawatan kepimpinan tertinggi dalam parti akan diperuntukkan kepada wakil komuniti Cina bagi memastikan keterangkuman dalam kepimpinan Sabah.
