KOTA BELUD: Penyelaras PKR DUN Tempasuk menetapkan pendirian untuk memberikan sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Tempasuk, Azuwan Marjan, yang berdepan pertembungan tujuh penjuru termasuk dengan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketua Penerangan PKR Tempasuk, Aziz Bilin berkata ketetapan itu dibuat secara sebulat suara oleh anggota Jawatankuasa Penyelaras DUN pada mesyuarat terbaru mereka.
Menurutnya, walaupun wujud kerjasama GRS–PH–BN di peringkat negeri, pihaknya mengambil kira hubungan kerjasama antara BN dan PH di peringkat Persekutuan yang disifatkan penting untuk dipertahankan menjelang PRU16.
Dalam satu majlis ringkas di Kota Belud, Ketua Penyelaras PKR Tempasuk, Arshad Haji Abdul Rahman turut menyerahkan memorandum persefahaman kepada Azuwan bagi menzahirkan sokongan tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 29 November sebagai tarikh pengundian PRN17, manakala pengundian awal berlangsung pada 25 November.
Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran DUN pada 6 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRN Sabah ke-17 yang membabitkan 73 kerusi dipertandingkan daripada keseluruhan 79 kerusi. – SNT
