KOTA KINABALU: Parti Keadilan Rakyat (PKR), satu daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah, berpotensi besar untuk memenangi kerusi DUN Kiulu pada Pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata Ketua Cabang PKR Tuaran Razeef Rakimin.
Beliau berkata keyakinan itu berdasarkan data sokongan rakyat, keadaan politik semasa dan presepsi umum terhadap parti itu.
“Walaupun kerusi berkenaan tidak ada ‘kawan’ dari pimpinan negeri dan pusat, Keadilan (PKR) berpotensi untuk menang DUN Kiulu, “ katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Menurut Razeef, PKR Tuaran telah mengenal pasti sekurang-kurangnya tiga calon berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon DUN Kiulu.
Antara yang di sebut-sebut ialah Rosalyn Gelunu.
Bagaimanapun, Razeef tidak memberi butiran lanjut berhubung perkara itu.
“Jika dinilai secara logik DUN Kiulu layak ditandingi Keadilan tetapi jika diikut kerusi ‘kawan-kawan’, rasanya Kiulu akan dikeluarkan dari senarai 13 kerusi bakal ditandingi,“ katanya sambil menaruh harapan parti itu diberi peluang bertanding kerusi DUN Kiulu pada kali ini.
Razeef berkata PKR hampir memenangi DUN Kiulu pada PRN 2013, tewas tipis dengan 44 undi.
Turut mengintai kerusi DUN Kiulu daripada gabungan PH ialah parti tempatan UPKO.
Antara pemimpin UPKO Kiulu yang disebut-disebut ialah Joisin Romut dan tokoh muda Salbinus Saribun.
DUN Kiulu kini diwakili Datuk Joniston Bangkuai daripada PBS/GRS.
Selain PH dan GRS, PKDM, Warisan, Parti Impian Sabah dan seorang tokoh berpengaruh mewakili Bebas dijangka akan bertanding di DUN Kiulu.
Menurut sumber dalaman parti, PKDM dijangka mencalonkan naib presiden parti itu Gundohing Henry Saimpon manakala Warisan meletakkan Harapan kepada bekas pengetua sekolah menengah Gundohing Saibin Gunsari.
Berdasarkan rekod daftar pemilih yang dikemaskini pada penghujung tahun lepas, terdapat lebih 16,000 pengundi, termasuk pengundi muda bagi kawasan DUN Kiulu. – Jesselton Times
