PM bukti serius bangunkan Sabah, bukan sekadar retorik – AMK Sabah

KOTA KINABALU: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyifatkan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melaksanakan komitmen pembangunan Sabah dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai bukti kesungguhan beliau memulihkan semula hak negeri ini.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus, berkata Perdana Menteri bukan sekadar mengiktiraf MA63 di atas kertas, sebaliknya membuktikan iltizam politik dan moral melalui pelaksanaan dasar serta tindakan konkrit yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Katanya, antara langkah signifikan yang dilaksanakan termasuk peningkatan Pemberian Khas Tahunan Sabah kepada RM600 juta dan pengambilalihan kuasa tenaga melalui Sabah Electricity (SE).

“Selain itu, kerajaan turut memperkasakan agensi pelaksana negeri seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah (JPS) dan Jabatan Air Sabah serta penyertaan tetap Sabah dalam LHDN.

“Semua itu membuktikan keberanian politik dan keprihatinan Datuk Seri Anwar terhadap rakyat negeri ini,” katanya dalam kenyataan kelmarin.

Menurutnya, pendekatan berprinsip Perdana Menteri yang menghormati proses perundangan dalam isu pemberian khas 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah juga memperlihatkan kepimpinan yang teguh berpegang pada kedaulatan undang-undang serta menolak politik kepentingan sempit.

Beliau berkata, AMK Sabah turut menggesa kerajaan negeri yang bakal dibentuk supaya memainkan peranan utama dalam memastikan manfaat MA63 dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.

“Ia termasuklah melalui tiga bidang teras utama iaitu penetapan formula bayaran 40 peratus hasil, pelan penggunaan dana hasil negeri secara berstruktur, serta pemerkasaan sistem pelaksanaan projek pembangunan negeri.

“Dengan tiga langkah ini, kerjasama strategik antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Persekutuan akan lebih berfokus, mempunyai formula yang betul, pelan yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan,” katanya.

Mohd Nur Hilmie berkata, dana hasil negeri perlu digunakan secara telus dan memberikan pulangan ekonomi maksimum, terutama kepada generasi muda yang menjadi tulang belakang masa depan Sabah.

“Era baharu hubungan Persekutuan dan Sabah kini terbina atas asas keadilan, kesaksamaan dan pembangunan menyeluruh.

“AMK Sabah berdiri teguh bersama kepimpinan Datuk Seri Anwar dalam meneruskan agenda pembaharuan demi menjadikan Sabah lebih maju dan makmur dalam kerangka Malaysia MADANI,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *