SEPANGGAR: Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan berkata, Perikatan Nasional (PN) akan membawa identiti berbeza daripada parti-parti lain.
Menurut beliau, PN Sabah khususnya akan membawa politik damai, sejahtera dan harmoni.
“Kita tidak mahu budaya politik caci maki yang menggambarkan Sabah ini seolah-olah dalam keadaan huru-hara, tidak boleh maju ke depan, bergaduh kiri, kanan, depan dan belakang.
“PN Sabah akan bangkit dengan budaya politik yang berasaskan solusi dan penyelesaian,” ujarnya semasa menyampaikan ucapan pembukaan pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Sepanggar, di Nexus Karambunai Resort, kelmarin.
Mesyuarat agung itu dirsmikan oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor, Dato’ Dr Ab Halim Tamuri.
Katanya, PN tidak mahu terikut dengan budaya sebelum ini di media sosial yang menggunakan bahasa yang kesat dan seolah-olah tidak membawa budaya yang berakhlak dan bermoral.
Tambahnya, PN Sabah perlu membawa satu budaya yang baik, berakhlak, bermoral, blyang menampakkan kesatuan dan ukhuwah serta belajar daripada kesilapan.
Dr Aliakbar juga menegaskan bahawa PN Sabah akan membawa jaminan untuk membawa budaya politik yang berakhlak dan bermoral untuk rakyat menilai.
Menurutnya lagi, jika Sabah maju, semua pihak akan mendapat keuntungan, namun sekiranya negeri ini mundur, semua pihak akan rugi.
Pada majlis itu turut disampaikan beberapa anugerah iaitu Tokoh Abu Bakar As-Siddiq diberikan kepada Abdul Syamim, Tokoh Saidatina Aisyah (Ustazah Siti Khadijatul Akhmar) dan Anugerah Khaulah Al-Azwar (Nur Iman Mansur).
Selain itu, Anugerah Khas Yang Dipertua PAS Sepanggar diberikan kepada Ustaz Anwar Ali dan Anugerah Biro Terbaik disandang oleh Biro Penerangan dan Media Baharu. – HARAKAHDAILY
