SHAH ALAM: Perikatan Nasional (PN) sudah memutuskan calonnya untuk menjadi ketua menteri Sabah jika gabungan itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gabungan itu juga kini bersiap sedia menghadapi PRN Sabah.
Hamzah menegaskan bahawa calon ketua menteri itu adalah seorang anak jati Sabah.
Beliau bagaimanapun tidak menamakan calon itu dan berkata pengumuman hanya boleh dibuat pada saat akhir.
“Sudah tentu ada. Saya tidak boleh bagi tahu sekarang, kita tidak akan menjawab sehingga hari-hari akhir.
“Kamu boleh lihat pemimpin masa depan, generasi muda dan tokoh yang ada termasuk di Sabah bukan saja mampu ambil alih, tapi meneruskan perjuangan demi masa depan rakyat. Kita yakin boleh berikan nanti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan sayap-sayap parti BERSATU di sini, hari ini.
