PN tawar sokongan menyeluruh untuk wanita Sabah

TAWAU: Dr Munzier Mahamud berkata, wanita Sabah bukan sekadar penyokong, tetapi tulang belakang yang menggerakkan keluarga, komuniti dan ekonomi.

“Selama ini, ramai wanita menghadapi banyak cabaran dalam diam,” kata calon Perikatan Nasiolan (PN) bagi DUN Balung itu.

Menurutnya, tanggungjawab bertimpa, peluang tidak selalu adil tetapi semangat mereka tidak pernah luntur.

Tambahnya, sebab itu sokongan kepada wanita perlu datang dalam bentuk yang benar-benar bermakna.

Justeru, ujarnya Manifesto PN Sabah menawarkan sokongan yang menyeluruh iaitu peluang kerja fleksibel, dana pemula untuk perniagaan, bantuan kewangan, pusat perlindungan, serta kemudahan kesihatan yang lebih bersasar kepada keperluan wanita.

Manifesto dengan 12 tunjang itu, antaranya mengoptimumkan penglibatan wanita dalam sektor ekonomi dan pentadbiran dengan melaksanakan Program Profesional Wanita Sabah (PWS), memperkasa 10,000 usahawan wanita yang berpotensi dan berdaya saing melalui penyediaan geran pembangunan perniagaan sehingga RM15,000, meningkatkan kadar penyertaan wanita sebagai tenaga kerja dan lain-lain.

Di samping itu, kesejahteraan wanita dan keluarga ditingkatkan, antaranya dengan memperkenalkan bantuan Lahir Sabah bernilai RM500 yang disalurkan terus kepada ibu yang baru melahirkan anak, menyediakan Bantuan Awal Taska dan Tadika (BATT) sebanyak RM500 untuk setiap anak pasangan bekerja yang berpendapatan rendah bagi menampung kos yuran pendaftaran taska dan tadika.

Selan itu, memperkenalkan Bantuan Prihatin Wanita Sabah (BPWS) sebanyak RM1,200 setahun kepada ibu tunggal yang memerlukan dan melaksanakan inisiatif Mammogram Sabah Prihatin (MSP) yang menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma untuk semua wanita berumur 45 tahun ke atas dengan kerjasama agensi Kerajaan serta klinik swasta terpilih di seluruh Sabah.

“Semua ini disusun supaya wanita Sabah dapat hidup dengan lebih tenang, lebih selamat dan lebih bebas membina masa depan mereka.

“Sekiranya Perikatan Nasional diberikan peluang untuk memerintah negeri Sabah, manifesto khas buat wanita ini akan dilaksanakan demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *