SEMPORNA : Polis berjaya mematahkan cubaan sindiket penyeludupan hasil laut dari Filipina serta menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak sawit mentah (CPO) dalam dua operasi berasingan di perairan Pantai Timur Sabah di sini kelmarin.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 6.30 pagi kelmarin di mana empat bot ditahan di perairan Pulau Sibangkat, Semporna.
“Seramai lapan warga asing berusia antara 17 hingga 40 tahun ditahan kerana cuba menyeludup masuk 824 ekor udang lipan (Mantis Shrimp) dan udang karang (Lobster) bernilai puluhan ribu ringgit.
“Kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen sah daripada Jabatan Perikanan Sabah dan anggaran nilai rampasan mencecah RM116,290.00” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Nazri berkata, kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 selepas gagal menunjukkan dokumen sah daripada Jabatan Perikanan Sabah.
Sementara itu dalam perkembangan sama, PPM Sabah turut menggagalkan cubaan menyeleweng lebih 600 liter CPO selepas menahan sebuah lori membawa muatan tangki serta tong dipercayai berisi minyak sawit mentah.
“Seorang lelaki disyaki dalang kegiatan itu turut ditahan dalam operasi bersepadu bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Lahad Datu.
“Nilai rampasan dianggarkan RM124,100 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kes CPO oleh PPM Sabah sejak Januari hingga kini sebanyak RM12,475,619.75,” jelas Mohd Nazri.
Sumber: SNT
