KUALA LUMPUR: Tiga wanita warga China telah ditahan selepas mereka cuba membayar bil bilik hotel menggunakan wang kertas RM100 palsu pada Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata wanita berusia 18 hingga 47 tahun itu menggunakan 87 keping wang kertas RM100 palsu untuk membayar bil hotel berjumlah RM8,700.
“Semasa tangkapan, polis merampas 87 keping wang kertas RM100 palsu, bersama sekeping wang kertas RM50 dan RM20 setiap satu, selain dua beg tangan mewah, kad akses bilik hotel dan tiga unit iPhone,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Sabtu.
Beliau menambah, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 498B Kanun Keseksaan dan suspek telah direman selama enam hari sehingga 9 Julai.
Beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan wang kertas dan melaporkan sebarang wang kertas palsu yang disyaki kepada polis atau Bank Negara Malaysia dengan segera.- BERNAMA
