‘Politik katak’ dukungan Warisan musnahkan demokrasi – Suhaimi

SANDAKAN: Ketua Penerangan UMNO Negeri Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menegaskan bahawa kestabilan politik merupakan asas utama kepada kemakmuran rakyat, namun ketika Parti Warisan menerajui kerajaan negeri, Sabah menyaksikan tempoh paling tidak stabil dalam sejarahnya.

Menurut beliau, kerajaan Warisan yang terbentuk pada 2018 bukan hasil mandat rakyat sebenar, tetapi berpunca daripada tindakan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) yang melompat parti.

“Kerajaan yang lahir daripada pengkhianatan tidak akan bertahan lama. Warisan tumbang dengan cara yang sama, akibat budaya lompat parti yang mereka sendiri mulakan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, budaya politik sedemikian bukan sahaja mencemar sistem demokrasi, malah menghancurkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan politik negeri.

“Inilah wajah sebenar politik Warisan iaitu penuh helah, tanpa prinsip dan sanggup menggadai kepercayaan rakyat demi kuasa sementara.

“Sabah tidak boleh lagi dijadikan pentas politik katak. Cukuplah rakyat menjadi mangsa kerakusan kuasa Warisan. Hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip mampu membawa Sabah ke arah kemajuan sebenar,” katanya.

Beliau menambah, sepanjang 26 bulan pentadbiran Warisan, dasar-dasar kerajaan sering berubah sehingga menyebabkan pelabur hilang keyakinan, pembangunan tergendala dan ekonomi negeri lumpuh.

“Ketika rakyat berdepan tekanan ekonomi dan pandemik COVID-19, kepimpinan Warisan pula sibuk berpolitik dan berebut kuasa. Akibatnya, rakyat menjadi mangsa kepada kerakusan politik.”

Suhaimi turut menyifatkan penggubalan undang-undang anti-lompat parti selepas kejatuhan Warisan sebagai bukti jelas bahawa tindakan parti itu telah merosakkan integriti demokrasi negara.

“Apa yang mereka anggap strategi politik sebenarnya menjadi pengajaran besar kepada seluruh negara bahawa kerajaan yang dibina atas pengkhianatan tidak akan kekal,” tegasnya.

Beliau mengingatkan bahawa pepatah Melayu “rumah tanpa tiang akan roboh” menggambarkan keadaan sebenar kerajaan Warisan iaitu kerajaan tanpa tiang kepercayaan rakyat.

“Mereka bukan pagar yang menjaga padi, tetapi pagar yang memakan padi. Warisan perlu bercermin. Kegagalan mereka bukan kerana orang lain, tetapi kerana kerakusan sendiri,” katanya.

Suhaimi juga menegaskan, BN Sabah komited mempertahankan kestabilan politik dan menolak budaya khianat yang hanya memecah-belahkan rakyat. – UMNO Online “Sabah tidak boleh lagi dijadikan pentas politik katak. Cukuplah rakyat menjadi mangsa kerakusan kuasa Warisan. Hanya kerajaan yang stabil dan berprinsip mampu membawa Sabah ke arah kemajuan sebenar,” katanya.

 

Sumber: UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *