TAWAU: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sepakat bekerjasama menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam usaha mewujudkan kestabilan politik selari dengan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berkata, keputusan itu dibuat pucuk pimpinan parti demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri.
Katanya, kerjasama itu tidak bermaksud bahawa BN Sabah sudah menutup pintu kepada parti-parti tempatan yang ada di negeri ini.
“BN Sabah tetap terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai hasrat sama untuk membina Sabah yang stabil dan maju.
“Kestabilan politik penting bagi menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana pertumbuhan ekonomi rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan berkata demikian dalam majlis perasmian berkelompok persidangan UMNO cawangan-cawangan bahagian Kalabakan, di sini, semalam.
Menurutnya, BN mahu kerajaan negeri selari dengan kerajaan persekutuan supaya dasar pembangunan dapat diselaraskan dan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan keyakinan terhadap sokongan rakyat di Kalabakan terhadap BN berdasarkan rekod perkhidmatan dan komitmen parti terhadap pembangunan setempat.
“Saya sudah beberapa kali ke sini, dan yakin kerusi yang ditandingi BN akan dimenangi. Rakyat mahu parti yang boleh jamin masa depan mereka.
“Rundingan agihan kerusi bersama rakan dalam kerajaan Perpaduan masih berjalan, namun beliau berharap BN diberi peluang bertanding sebanyak mungkin kerusi di Kalabakan.
“Kita mahu pastikan suara rakyat diwakili oleh pemimpin yang benar-benar mampu berkhidmat,” katanya.
Salleh berkata, PRN Sabah dijangka menjadi medan penting menguji kekuatan kerjasama antara BN dan PH dalam membawa kestabilan dan pembangunan ke negeri itu. – Utusan Borneo
