KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menjelaskan poster calon BN untuk Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang tular di media sosial baru-baru ini adalah palsu.
Ketua Penerangan UMNO Sabah Datuk Suhaimi Nasir berkata, semua poster yang tular itu tidak ada kaitan dengan mana-mana calon BN untuk PRN17 ini.
Katanya, cubaan pihak tertentu yang bertindak menularkan poster terbabit adalah strategi untuk mengelirukan rakyat, memecah-belahkan dan melemahkan momentum jentera BN.
“Mereka tahu, BN mempunyai jentera pilihan raya yang kuat, disiplin tinggi, dan calon-calon yang berkaliber, sehingga potensi kemenangan BN sangat tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, BN Sabah kini bersedia dengan barisan calon yang 80 peratus muka baharu, mewakili tenaga muda, profesional dan rakyat.
Menurutnya, dengan kombinasi pengalaman kepimpinan, strategi tersusun, dan tenaga segar, BN yakin dapat membawa kemenangan cemerlang pada PRN17.
“Cubaan pihak tertentu untuk mengacau bukanlah satu kejutan. Kami bukan sahaja bersedia, malah lebih kuat. BN tidak akan goyah dengan propaganda palsu, kami fokus kepada kerja, calon dan rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah untuk tidak terperangkap dengan berita palsu dan juga poster tiruan yang tular di media sosial.
Suhaimi berharap, rakyat negeri ini terus memberi sokongan kepada BN yang nyata membawa kepimpinan stabil, pembangunan dan hasil yang terbukti. – Utusan Borneo
