KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berjanji akan melantik seorang pemimpin Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya kerajaan GRS pimpinannya kekal diberi mandat pada PRN ke-17.
Beliau berkata langkah itu sebagai penghargaan terhadap sokongan berterusan masyarakat Cina yang banyak menyumbang kepada pembangunan dan kestabilan negeri.
“Kita mahu mengiktiraf kepercayaan dan sokongan komuniti Cina dengan memberi mereka tempat di peringkat tertinggi pentadbiran,” katanya pada Majlis Malam Mesra bersama komuniti Cina, sekolah mubaligh, sekolah Cina persendirian dan badan agama bukan Islam, malam tadi.
Ketika ini, ketua menteri mempunyai tiga timbalan iaitu Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Shahelmey Yahya. Kabinet negeri turut menampilkan empat wakil masyarakat Cina, dua sebagai menteri penuh dan dua lagi sebagai pembantu menteri.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS menegaskan Sabah sentiasa memberi kepercayaan kepada pemimpin Cina menerajui jawatan penting termasuk dalam GLC, kewangan, industri dan tenaga.
“Kita semua adalah rakyat Sabah tanpa mengira kaum atau agama, dan semangat kekeluargaan ini mesti diteruskan,” katanya.
