PRN 17: Jo-Anna nafi bakal tanding atas tiket UPKO

KOTA KINABALU: Bekas ratu cantik Jo-Anna Sue Henley Rampas menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa beliau akan bertanding dalam PRN17 bagi kerusi Kiulu (N15) atas tiket UPKO-Pakatan Harapan.

Rampas menyatakan bahawa beliau masih tidak berparti dan belum pernah dihubungi oleh mana-mana pihak, termasuk UPKO, berkenaan pencalonan. Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai palsu dan berkemungkinan datang daripada siber-trooper politik.

“Tiada sesiapa dari UPKO yang menghubungi saya, sama ada sebelum atau selepas hantaran tular ini… jadi saya tidak tahu dari mana datangnya cerita ini,” katanya sebagaimana dilaporkan The Star kelmarin.

Rampas, yang pernah dinobatkan sebagai Unduk Ngadau pada tahun 2007 dan pernah bertanding kerusi Kiulu di atas tiket Warisan, berkata beliau kini memberi tumpuan kepada projek podcastnya Smart Talks Sabah dan penyelidikan akademik bersama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Dalam pada itu Rampas, yang kini sedang bercuti daripada politik bagi menumpukan pengajian peringkat kedoktorannya di Unimas, turut dilihat menghadiri beberapa acara anjuran PBS, mencetuskan spekulasi bahawa beliau mungkin cenderung kepada parti tersebut.

Namun begitu, Rampas menjelaskan bahawa kehadirannya adalah secara profesional, kerana dijemput untuk menyampaikan ceramah berdasarkan penyelidikan akademiknya, khususnya mengenai pemerkasaan belia dan penyertaan politik di bawah inisiatif Undi18.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *