PRN 17: Tiada perbincangan rasmi dengan BN – DAP Sabah

KOTA KINABALU: DAP Sabah menafikan penglibatan dalam sebarang perbincangan rasmi dengan wakil Barisan Nasional (BN) mengenai kerjasama gabungan itu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata tiada perbincangan rasmi antara partinya dengan mana-mana parti politik berkaitan kerjasama pilihan raya.

“Pertemuan tidak rasmi antara tokoh politik adalah perkara biasa dan tidak seharusnya disalah tafsir,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik FMT semalam.

Kelmarin Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata bahawa satu keputusan telah dicapai untuk BN bergabung tenaga dengan PH bagi menghadapi PRN Sabah.

Beliau menambah bahawa kerjasama antara gabungannya dan PH telah dimuktamadkan sejak tahun lepas.

Ketua UMNO Sabah itu menjelaskan bahawa perbincangan tidak rasmi telah diadakan beberapa kali bersama pemimpin PH Sabah sebelum sebarang perbincangan rasmi berlangsung.

Phoong berkata DAP Sabah melihat perkembangan ini sebagai sejajar dengan nilai-nilai yang diamalkan oleh kerajaan perpaduan.

“Sebarang kerjasama politik mesti berasaskan dasar yang memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan Sabah, bukan semata-mata untuk tujuan bertanding dalam pilihan raya.

“Oleh itu, DAP Sabah terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai dasar-dasar yang perlu dilaksanakan demi masa depan Sabah, sebelum memuktamadkan sebarang bentuk pakatan politik,” kata Phoong, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang.

Beliau menambah bahawa DAP Sabah sentiasa mengekalkan pendekatan yang terbuka dan konstruktif dalam kerjasama politik dengan mana-mana parti – asalkan kepentingan rakyat Sabah tetap menjadi keutamaan.

Menurut Phoong, pendirian PH Sabah mengenai pakatan pilihan raya dalam pilihan raya negeri akan dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan yang akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *