PRN: Jangan terpedaya slogan ‘Sabah for Sabahan’

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengingatkan rakyat untuk tidak terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang dimainkan oleh parti tertentu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung.

Beliau yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata, kehadiran sepuluh parti tempatan di Sabah membuktikan bahawa mereka hanya mahu merebut kuasa.

Rakyat Sabah jangan lagi terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ atau ‘parti tempatan’ yang sering dijadikan umpan politik oleh parti-parti tempatan.

“Kalau benar mereka perjuangkan hak Sabah, mengapa wujud begitu banyak parti tempatan tetapi tidak satu pun mampu bersatu?

“Hakikatnya mudah… semua mahu berkuasa, bukan berkhidmat. Sehingga kini sekurang-kurangnya sepuluh parti tempatan Sabah yang diiktiraf secara sah pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) namun masing-masing berebut kerusi dan pengaruh. Ini bukan perjuangan rakyat, ini perebutan kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, rakyat Sabah memerlukan satu parti atau gabungan yang mempunyai hala tuju jujur, stabil dan berpaksikan rakyat.

“Kita sudah lihat bagaimana kerajaan GRS yang kononnya ‘parti tempatan’ gagal membela rakyat, malah dibelenggu video yang mencemarkan integriti pentadbiran negeri. Slogan Sabah for Sabahan dan Parti tempatan akhirnya hanya jadi perisai untuk menutup kelemahan dan tamak kuasa.

“UMNO BN Sabah berpendirian tegas kita tidak perlu 10 parti untuk perjuangkan Sabah, kita perlukan satu halatuju yang jujur, stabil dan berpaksikan rakyat.

“Cukuplah Sabah jadi mangsa slogan politik. Yang rakyat mahu bukan laungan kosong tetapi kepimpinan yang bersih, berani dan berkhidmat,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *