PRN Sabah: Alfian Sambas seru pengundi kembalikan pantai Dalit kepada BN

TUARAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi N.13 Pantai Dalit, Alfian Sambas, menyeru jentera parti serta golongan muda agar bersatu mengembalikan kemenangan BN di kawasan tersebut, sambil menegaskan bahawa kekuatan sebenar parti datang daripada sokongan akar umbi.

Menurut Alfian, barisan jentera muda yang teguh bersama BN hari ini membuktikan bahawa generasi baharu tidak lagi mahu berada di pinggiran politik, sebaliknya mahu terlibat secara aktif dalam menentukan hala tuju negeri.

“Tanggungjawab kita untuk menangkan semula BN. Ini adalah sebahagian jentera yang berdiri teguh untuk mengangkat martabat anak muda yang dilahirkan daripada BN. Selagi mana pemimpin itu mendukung panji BN, kita akan terus sokong,” katanya dalam pertemuan bersama jentera anak muda di Pantai Dalit.

Alfian turut menekankan nilai kesetiaan dalam perjuangan politik, terutama dalam kalangan generasi muda.

“Sebagai anak muda, saya belajar bahawa kesetiaan itu tidak ternilai. Ini golongan yang sebelum ini rasa tersisih.

“Hari ini mereka kembali bangkit,” katanya dalam Program Malam Anak Muda Bangkit yang dihadiri oleh Pengerusi BN Sabah merangkap Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Beliau mendedahkan bahawa kawasan Pantai Dalit mempunyai 26,346 pengundi, dengan 17,000 daripadanya pengundi muda, namun hanya 3,000 merupakan anak muda yang berparti dan angka ini disifatkannya sebagai cabaran dan peluang besar buat BN.

“Wahai anak muda, ruang kita kali ini adalah yang terbaik. Kita berhak menentukan siapa yang akan menang dan siapa yang akan memimpin negeri ini. Suara anak muda bukan lagi kecil, ia mesti didengar dan ditangani dengan penuh berhati-hati,” tegasnya.

Alfian turut menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat membuat janji berlebihan, sebaliknya mahu membuktikan khidmat melalui tindakan sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

“Jika saya menang, saya tidak menjanjikan apa-apa kecuali yang terbaik. Lima tahun ini saya berjanji untuk menjadi YB iaitu ‘yang berkhidmat’. Setiap YB dinilai dan rakyat berhak menukar sesiapa sahaja.”

Beliau juga berikrar untuk mewakafkan usianya demi kesejahteraan penduduk Pantai Dalit jika diberikan mandat.

“Kita mahu ambil balik ‘piala pusingan’ kita. Kita berikan mesej besar bahawa Pantai Dalit kembali bersama BN,” katanya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *