PRN Sabah: Amanah sasar lima kerusi, tekad menang kerusi sulung

KOTA KINABALU: Parti Amanah Negara (Amanah) menyasarkan lima kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri Sabah kali ini, kata Setiausaha Agungnya Muhammad Faiz Fadzil (gambar).

Bukan hanya itu, Amanah juga katanya bertekad untuk melakar kejutan dengan meraih kerusi sulung pada PRN itu.

“Kita sasar lima kerusi pada PRN Sabah kali ini, namun banyak parti akan bertanding.

“Keutamaan Amanah adalah meletakkan calon yang berpotensi menang,” katanya sebagaimana dilaporkan Sinar Harian.

Beliau dilaporkan berkata demikian semasa merasmikan Gelombang Samudera Madani Kelantan Sempena Hari Kebangsaan 2025 di Pantai Sri Tujoh, Tumpat, Kelantan pada Ahad.

Muhammad Faiz Fadzil berkata, parti itu sedang menilai nama-nama calon yang sesuai dan akan dimuktamadkan oleh Presiden nanti.

“Soal calon, jangan risau kerana Amanah bersedia sepenuhnya untuk bertanding dan memastikan kemenangan,” katanya

Menurut beliau, kerjasama dalam Pakatan Harapan (PH) dan parti gabungan lain akan terus diperkukuhkan bagi mengekalkan kerajaan sedia ada di Sabah.

Ujarnya, Amanah akan memberikan khidmat terbaik bagi memastikan kemenangan berpihak kepada kerajaan sedia ada.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *