KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sabah, Effendy Salamon menyifatkan anak muda di negeri itu perlu bangkit memainkan peranan lebih besar dalam menentukan hala tuju Sabah selepas kegagalan pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang lima tahun lalu.
Menurutnya, generasi muda tidak seharusnya menjadi sekadar penonton dan pengikut kepada perkembangan politik semasa, sebaliknya menjadi suara perubahan yang membawa aspirasi baharu untuk kemajuan negeri.
“Anak muda Sabah bukan sekadar penonton. Kita adalah penentu masa depan negeri, bangkit bersuara dan tentukan arah negeri kita sendiri. Sabah bukan milik orang berkepentingan semata-mata, ia milik kita semua. Marilah sama-sama kita bersuara demi kemakmuran negeri ini.
“Ke mana hala tuju anak muda Sabah selepas ini? Adakah anak muda mahukan perubahan atau cengkaman politik yang hanya janji tinggal janji.
“Anak muda mahukan kerja yang stabil. Kita mahu peluang sama rata. Kita mahu pemimpin yang baru dan jelas bukan sekadar calon ‘recycle’ dan janji dalam poster. Inilah masa untuk kita tentukan haluan Sabah bukan dengan kata-kata, tapi dengan tindakan,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sandakan menjelaskan bahawa anak muda di kawasan itu ketandusan peluang pekerjaan dan ekonomi lemah sepanjang GRS mentadbir hanya banyak retorik malah kemajuan yang dijanjikan tidak seiring dengan realiti.
“Rakyat Sabah muak dengan GRS kerana banyak kawasan-kawasan di pedalaman dan bandar tidak mendapat infrastruktur yang baik terutamanya dari segi bekalan air bersih dan elektrik yang dapat menaikkan ekonomi setempat. Ini menunjukkan jurang yang ketara antara janji dan pelaksanaan.
“Anak muda Sabah tidak lagi boleh berdiam diri. Sudah tiba masanya kita menuntut perubahan yang sebenar. Perubahan yang membawa kestabilan, peluang pekerjaan dan masa depan yang lebih baik untuk rakyat,” katanya lagi.
Seterusnya kata Effendy lagi, isyarat jelas telah diberikan oleh Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa UMNO dan BN Sabah kini sudah bersedia sepenuhnya menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
“Jentera sudah bergerak, semangat sudah menyala. Inilah masa untuk kita buktikan bahawa BN masih menjadi pilihan rakyat, khususnya anak muda yang mahukan kepimpinan stabil dan berwibawa,
“Bersama-sama memilih BN, kita pilih kestabilan, pembangunan dan demi masa depan yang terjamin untuk Sabah,” tegasnya. – UMNO Online
