PUTATAN: “Anak muda Sabah tidak mahu janji manis atau retorik politik lama. Mereka mahu peluang nyata yang terus memberi impak,” tegas calon PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Petagas, Dr. Afifi Saif.
Menurutnya, tawaran PN dengan tema Kasi Bagus Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 ini, bukan sekadar dokumen politik, tetapi pelan konkrit untuk generasi muda.
Ini, ujarnya termasuk program segera yang membolehkan mereka mula membina kerjaya dan pendapatan sendiri.
Kata beliau, antaranya Sabah Innovation Accelerator (SIA) menyediakan dana RM100,000 bagi setiap projek inovasi, lengkap dengan mentor industri dan akses pelabur awal, peluang untuk anak muda memulakan start-up terus berlaku sekarang.
Menurut beliau, bagi memastikan anak muda bukan sekadar menunggu peluang, tetapi boleh terus bertindak membina ekonomi sendiri dalam sektor pertanian.
“Dalam sektor pertanian, Dana Tani Belia RM100 juta membolehkan pemuda tani menerima lot tanah dan sokongan modal permulaan bagi pertanian moden seperti hidroponik, fertigasi dan agro-teknologi,” tambahnya.
Menerusi tawaran itu, golongan muda yang bekerja sendiri dalam perkhidmatan penghantaran atau pengangkutan diberi sokongan nyata melalui Skim P-Hailing yang menyediakan insurans perjalanan, servis motosikal, dan latihan keselamatan jalan raya, satu langkah langsung untuk meningkatkan keselamatan dan pendapatan mereka.
PN juga menawarkan peluang kerjaya jangka panjang yang besar 2,000 juruterbang dron dilatih melalui Sabah Drone Pilot, 2,000 pemandu pelancong profesional melalui SabahTourPro.
Platform Sabah Creators pula menyediakan studio mini serta latihan digital untuk content creator serta Sukan Berprestasi Tinggi (SBT Sabah) menerima peruntukan RM20 juta bagi biasiswa dan pembangunan atlet remaja, sementara 80,000 peluang pekerjaan disediakan melalui projek negeri dan GLC dengan 90 peratus keutamaan kepada pekerja tempatan.
Di samping itu, ujarnya beliau PN Sabah menekankan pelaburan berterusan terhadap anak muda, bukannya sokongan bermusim semasa pilihan raya sahaja.
“Kalau kita mahu Sabah bergerak lebih jauh, anak mudalah titik mula. Tawaran ini nyata, memberi peluang segera dan laluan jangka panjang, anak muda perlu rebut peluang ini sekarang, mari bina bersama masa depan anak muda Sabah yang lebih baik,” ujarnya.
Pada PRN kali ini, Dr Afifi berdepan saingan dengan sembilan lagi calon di DUN Petagas yang mempunyai 20,116 pengundi berdaftar.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia menetapkan hari mengundi pada 29 November manakala pengundian awal 25 November.
Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi pada PRN kali ini yang terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis beserta pasangan. – HARAKAHDAILY
