PRN Sabah: Azuwan Marjan seru anak muda terus sokong BN

KOTA BELUD: Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan menyeru golongan muda agar terus bersama Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, khususnya di kerusi N.10 Usukan.

Beliau menegaskan bahawa PRN kali ini merupakan penentu masa depan kawasan dan negeri, justeru kesepakatan dalam kalangan anak muda amat penting bagi memastikan kemenangan BN.

“Anak muda tatap bersama BN. Ini kalilah kita kasi balik BN. PRN kali ini adalah penentu kepada masa depan kita. UMNO/BN pasti akan meletakkan calon dan mempertahankan kerusi N.10 Usukan,” katanya ketika berucap dalam sesi Townhall ‘Kita-Kita Juga Nii!!’ yang diadakan di PDM Ambong, Usukan, baru-baru ini.

Sesi townhall berkenaan memberi peluang kepada masyarakat setempat mengutarakan isu secara langsung dan menerima jawapan terus daripada para pemimpin tempatan.

Antara panel jemputan lain yang turut hadir ialah Ir. Aziz Julkarnain selaku Ketua Sekretariat War Room UMNO Sabah; Arshad Mohd Yusof, Exco Pemuda UMNO Malaysia; serta Asmarah Rikun iaitu aktivis muda tempatan.

DUN Usukan merupakan antara kerusi yang disandang oleh BN dan terdahulu diwakili oleh Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.

Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online

 

Kredit foto: FB , Azuwan Marjan Norjan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *