PRN Sabah: BN belum muktamad rundingan dengan GRS

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) belum memuktamadkan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkenaan kerjasama politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini gabungan itu hanya selesai berunding dengan Pakatan Harapan (PH) bagi berdepan PRN berkenaan.

“Rundingan dengan GRS belum dimuktamad (namun) kita (BN) menghormati kerjasama antara PH dengan GRS,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menambah, BN akan terus menggunakan logonya sendiri pada pilihan raya tersebut sekiranya tiada kerjasama sekutu dilaksanakan.

Tambah beliau, BN telah memantapkan kesiapsiagaan jentera di seluruh 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Yang penting ialah soal kemenangan. Jadi kita lebih tumpukan kepada kursi-kursi yang kita boleh menangi dan itulah tumpuan kita,” ujar beliau.

DUN Sabah akan terbubar secara automatik pada penghujung September ini atau dibubar oleh Yang Dipertua Negeri pada bila-bila masa atas permohonan Ketua Menteri.

Komposisi terkini DUN Sabah menyaksikan kerajaan diketuai GRS, BN dan PH menguasai 55 daripada 79 kerusi keseluruhan manakala pembangkang terdiri Parti Warisan Sabah (Warisan), sebahagian UMNO dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dengan 24 kerusi.

Pada PRN Sabah ke 16 yang lalu, sebanyak 14 parti politik yang bertanding membabitkan Warisan, Parti Tindakan Demokratik (DAP), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO lama sebelum penjenamaan dan sebahagiannya bertanding bawah WARISAN+.

Selain itu ia membabitkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Parti Bersatu Sabah (PBS) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR SABAH), Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Barisan Nasional (BN), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Cinta Sabah (PCS) dan Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – TVS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *