PRN Sabah: Calon DUN Api-Api bidas dakwaan kurang fasih Mandarin

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Thonny Chee, membidas kritikan yang mendakwa beliau sukar berkomunikasi dengan masyarakat Cina kerana tidak menguasai bahasa Mandarin, sebaliknya hanya fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

Chee berkata isu bahasa bukan halangan untuknya berkhidmat kepada komuniti kerana penduduk di kawasan ditandinginya juga fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

“Saya tahu di DUN Api-Api, masyarakat Cina semua fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Jadi saya boleh gunakan dua bahasa ini untuk berkomunikasi dengan mereka. Orang yang cuba menggunakan isu ini sebenarnya tidak bijak kerana saya nampak tiada isu di situ,” katanya.

Beliau ditemui media selepas beramah mesra dengan pengundi di beberapa premis sekitar DUN Api-Api di sini pada Isnin. Program kempen Chee turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Naib Presiden PKR Chang Lih Kang.

Chee berkata beliau memahami maksud perkataan yang dituturkan dalam bahasa Mandarin, tetapi tidak berani membalasnya kerana bimbang disalahertikan.

“Bahasa Mandarin ada intonasi yang berbeza-beza. Kadang-kadang sebutannya sama tetapi sedikit perubahan intonasi boleh menukar maksud. Jadi daripada saya (bimbang salah) cakap bahasa Mandarin, bagus saya cakap bahasa Melayu atau Inggeris kerana mereka pun faham.

“Pada masa sama, saya pun sedang belajar (perbaiki penguasaan) bahasa Mandarin dengan sifu saya di sebelah ini,” katanya yang merujuk kepada Chang.

DUN Api-Api adalah satu daripada DUN dalam Parlimen Kota Kinabalu selain Likas dan Luyang.

 

N20: API-API  (17,782)

 

Ng Chun Sua(PIS)

Ting Shu Kiong(STARSABAH)

Soh Kee Suat @ So Chee Say(PBK)

Loi Kok Liang(Warisan)

Thonny Chee(PH-PKR)

 

(2020: Christina Liew Chin Jin: Warisan Plus-PKR: Maj: 5,347)

 

Sumber: BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *