PRN Sabah: DAP intai DUN Tanjung Aru dan dua kerusi pedalaman

KOTA KINABALU: DAP berhasrat bertanding di kerusi DUN Tanjung Aru selain mengintai peluang bertanding di dua kerusi DUN di kawasan pedalaman pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Setiausaha Agung parti itu, , Anthony Loke Siew Fook berkata DAP menyasarkan untuk bertanding antara lapan hingga 10 kerusi pada PRN kali ini.

“Kami masih berunding dengan gabungan PH (Pakatan Harapan), BN (Barisan Nasional), dan GRS (Gabungan Rakyat Sabah). Kami berharap dapat memperoleh lebih banyak kerusi DUN untuk ditandingi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pra-pelancaran perkhidmatan BAS.MY di KK Sentral di sini pada Sabtu.

Beliau, yang juga menteri pengangkutan, menegaskan bahawa Hasrat bertanding di kawasan pedalaman bukanlah suatu percubaan kerana pada PRN lalu parti itu pernah bertanding di kerusi DUN Bingkor.

Katanya, dalam strategi pilihan rayanya DAP mengamalkan pendekatan pragmatik dan praktikal iaitu tidak mengejar jumlah kerusi yang ditandingi dan tidak bertanding di kawasan di mana ia tidak mempunyai kekuatan.

“Kami hanya bertanding di tempat di mana kami ada sokongan akar umbi dan telah melakukan kerja-kerja asas. Kami tidak bertanding sekadar untuk cukupkan bilangan, sebaliknya kami mahu menang di kerusi yang kami tandingi,” katanya.

Dalam PRN Sabah ke-16, DAP memenangi enam kerusi daripada tujuh yang ditandinginya. Kerusi-kerusi yang menang itu ialah Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.

Walau bagaimanapun DUN Sri Tanjong dan Elopura kemudiannya berpindah tangan apabila ADUN di kedua-dua kawasan itu menyertai parti Warisan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *