TAWAU: DAP Sabah bersedia melangkah ke gelanggang Pilihan Raya Negeri ke-17 dengan semangat baharu dan barisan calon yang segar.
Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin, mengesahkan parti itu akan bertanding di lapan kerusi, termasuk dua kawasan baharu – satu daripadanya ialah Tanjung Aru yang telah diumumkan, manakala satu lagi DUN di kawasan pedalaman yang masih dirahsiakan .
DAP dijadualkan mengumumkan senarai penuh calonnya pada Sabtu dan Chan meminta media dan semua pihak bersabar sehingga pengumuman rasmi itu.
Mengulas tentang perubahan dalam barisan calon, Chan menjelaskan bahawa tiga kerusi akan menyaksikan kemunculan muka baharu, susulan tindakan dua bekas ADUN – dari Sri Tanjong dan Elopura – yang menyertai Parti Warisan.
Kerusi Tanjong Papat juga akan ditandingi oleh calon baharu selepas pengunduran Datuk Frankie Poon Ming Fung dari parti.
“Tiada masalah. Kita akan tampilkan muka baharu – wanita dan anak muda,” kata Chan sebagaimana dilaporkan Daily Express.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu turut menepis khabar angin bahawa calon DAP Tawau berasal dari luar, khususnya Sandakan.
Tegasnya, kerusi itu akan ditandingi oleh anak jati Tawau sendiri dan ia merupakan bukti komitmen parti itu terhadap anak tempatan.
Untuk rekod, DAP Sabah memenangi enam kerusi dalam PRN ke-16 pada tahun 2020: Tanjong Papat, Luyang, Likas, Kapayan, Elopura dan Sri Tanjong.
