KOTA KINABALU: Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe akan meninggalkan DUN Luyang yang diwakilinya sejak dua penggal lalu dan berpindah ke DUN Likas.
Perpindahan beliau diumumkan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya dan Pengumuman Calon-Calon PH-DAP di sini, pada Sabtu.
Pada majlis itu Loke mengumumkan tujuh calon parti itu yang akan dipertaruhkan pada PRN akan datang.
Keseluruhannya DAP akan bertanding lapan kerusi, bagaimana satu lagi nama calon tidak diumumkan hari ini kerana parti itu masih berunding dengan rakan gabungan mengenai sebuah lagi kerusi – dipercayai DUN Kemabong.
Selain Phoong, dua lagi pemimpin DAP negeri turut dinamakan sebagai calon. Mereka ialah Timbalan Pengerusi negeri, Datuk Chan Foong Hin dan Setiausaha DAP negeri Vivian Wong.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu merangkap Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi akan dipertaruhkan di DUN Tanjung Aru, manakala Vivian di DUN Elopura.
Vivian merupakan Ahli Parlimen Sandakan dan DUN Elopura terletak dalam kawasan Parlimen tersebut.
Calon-calon lain yang diturunkan oleh DAP ialah Jannie Lasimbang, yang dikekalkan di DUN Kepayan, Tang Szu Ching di DUN Tanjung Papat,DUN Sri Tanjung diwakili Ketua DAPSY Tawau, Philip Yap Wui Lip dan DUN Luyang diwakili oleh Setiausaha Eksekutif DAPSY Sabah, Chan Loong Wei.
