BEAUFORT: Rakyat Sabah kini disajikan dengan satu lagi babak murahan politik pertelagahan antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan yang sibuk menuntut nama atas projek-projek pembangunan.
Ketua UMNO Beaufort merangkap Pengerusi BN Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat berkata, hari ini satu pihak mendakwa ‘itu projek kami’, esok pihak satu lagi pula menegaskan ‘itulah hasil kerja kerajaan kami’.
“Namun, persoalan sebenar bukan siapa buat projek, tetapi siapa sebenarnya mendapat mandat rakyat untuk mentadbir Sabah? Jawapannya mudah, GRS dan Warisan kedua-duanya tidak pernah mendapat mandat rakyat.
“Kerajaan Warisan dahulu terbentuk bukan melalui suara rakyat di peti undi, tetapi melalui lompatan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Satu pengkhianatan terhadap prinsip demokrasi.
“GRS pula lahir bukan daripada mandat rakyat, tetapi daripada ‘manuver politik’ selepas UMNO BN menarik sokongan terhadap Pengerusi GRS. Ia bukan kekuatan rakyat, tetapi pakatan kepentingan peribadi untuk kekal berkuasa,” katanya menerusi satu kenyataan.
Awang Aslee yang juga Penyelaras BN DUN Kuala Penyu menjelaskan, setelah bertahun menunggang kuasa tanpa mandat, kedua-dua kumpulan ini masih sibuk berdebat siapa lebih berjasa sedangkan yang terus menderita ialah rakyat.
“Jalan raya rosak, bekalan air dan elektrik tidak stabil, kos sara hidup meningkat tetapi mereka lebih ghairah menuntut nama di papan tanda projek berbanding menunaikan tanggungjawab kepada rakyat.
“Inilah politik ‘kerajaan tanpa mandat’ gah di media, lumpuh di akar umbi. Mereka bertarung siapa mahu dilihat sebagai penyelamat, padahal kedua-duanya gagal menyelamatkan kepercayaan rakyat Sabah,” ujarnya.
Awang Aslee turut menegaskan, akhirnya GRS dan Warisan boleh terus berebut nama di papan tanda projek, tetapi yang akan kekal dalam hati rakyat ialah siapa yang benar-benar menunaikan Amanah,dan sejarah telah membuktikan hanya Barisan Nasional (BN) pernah melakukannya.
“BN tidak perlu meniru gaya politik seperti ini. Ketika BN mentadbir, pembangunan bukan sekadar slogan, tetapi bukti nyata daripada mandat tulen rakyat. BN tidak lahir daripada lompatan, tidak hidup atas belas ihsan gabungan sementara, dan tidak menjadikan projek sebagai modal propaganda.
“Sabah memerlukan kepimpinan yang berani kembali kepada asas demokrasi sebenar kerajaan yang lahir daripada mandat rakyat, bukan daripada percaturan politik sempit,” tegasnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
