PRN Sabah: GRS sudah lakukan yang terbaik untuk rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat Sabah menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang hampir lima tahun mentadbir negeri itu bersama Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah dipetik oleh BERNAMA sebagai berkata inisiatif berkenaan termasuk memberikan peruntukan besar untuk pelajar dan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak pernah dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.

Sehubungan itu, katanya beliau menyerahkan kepada rakyat sama ada untuk memberikan peluang sekali lagi kepada gabungan GRS-PH untuk menerajui kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Kita sudah buat yang terbaik walaupun masih banyak lagi yang patut kita lakukan. Ada lagi masalah, masalah air yang kita warisi dari dahulu.

“Tetapi kerajaan hari ini telah dan sedang melaksanakan projek menaik taraf loji-loji kita untuk memperbaiki bekalan air di Sabah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Hajiji tidak menolak kemungkinan persidangan kali ini merupakan yang terakhir sebelum DUN dibubarkan namun tarikh pembubaran itu masih belum dimuktamadkan.

 

Kredit foto: Jabatan Penerangan Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *