PRN Sabah: Jamawi mahu fokus agenda perumahan, sektor pertanian di DUN Melalap

TENOM: Isu perumahan dan pemerkasaan sektor pertanian menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap, Datuk Jamawi Ja’afar, sekiranya beliau diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Jamawi, 51, berhasrat menambah projek perumahan kos rendah di bawah Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) bagi memenuhi keperluan perumahan penduduk setempat, memandangkan projek sedia ada tidak mencukupi untuk menampung permintaan tinggi.

Beliau berkata perkara itu adalah isu paling mendesak kerana kebanyakan isi rumah terutamanya di kawasan perkampungan didiami hingga empat generasi, yang berpotensi menjejaskan hubungan kekeluargaan sehingga berlaku permasalahan sosial.

“Saya bersyukur kalau dapat membawa satu projek perumahan LPPB yang sedang dalam pelaksanaan, kini 70 peratus siap tetapi ia tidak mencukupi kerana ada 50 buah (rumah) tetapi permohonan setakat ini yang kita terima 412 orang.

“Sekiranya kita (PH) diberi amanah sebagai wakil rakyat, ia memudahkan mendapatkan lagi tambahan peruntukan bagi membina perumahan di kawasan Melalap ini untuk keperluan anak-anak muda,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Selain itu, Jamawi juga ingin menyelesaikan isu pembinaan lot bangunan komersial yang masih tertangguh susulan berdepan masalah kos meskipun tapak telah disediakan beberapa tahun lepas.

“Kita boleh bekerjasama dengan syarikat dari Semenanjung untuk membangunkan rumah kedai (lot bangunan komersial) dan juga perumahan rakyat,” katanya menambah bahawa pekan di Melalap hanya mempunyai satu lot bangunan komersial dengan keadaan struktur yang uzur.

Mengenai sektor pertanian, Jamawi yang memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang berkenaan bercadang memohon kepada Kerajaan Negeri Sabah untuk mewartakan kawasan hutan bersesuaian sebagai taman kekal pengeluaran makanan di bawah Jabatan Pertanian Negeri seperti di Tawau.

Graduan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) itu berkata pendekatan tersebut dapat memberi peluang kepada golongan belia yang berminat untuk menceburi bidang berkenaan, selain meningkatkan punca pendapatan mereka.

Beliau berkata latar belakangnya sebagai bekas pegawai pertanian turut memberi nilai tambah kepada usaha membangunkan sektor pertanian di DUN tersebut.

DUN Melalap terletak dalam kawasan Parlimen Tenom, kira-kira 130 kilometer dari Kota Kinabalu dan pada PRN ke-17, Jamawi akan berdepan saingan lapan penjuru membabitkan 21,320 pemilih berdaftar.

Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 yang membabitkan 73 kerusi DUN dipertandingkan ditetapkan pada 29 November manakala undi awal 25 November ini.

Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 1,784,843 pengundi layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera berserta pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan. – BERNAMA

One thought on “PRN Sabah: Jamawi mahu fokus agenda perumahan, sektor pertanian di DUN Melalap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *