PRN Sabah: Jurang pembubaran dengan penamaan calon terlalu lama, kata SAPP, STAR

KOTA KINABALU: Dua parti tempatan Sabah, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Sabah STAR), mempersoalkan jurang 39 hari antara pembubaran Dewan Undangan Negeri dan hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Negeri ke-17, yang disifatkan sebagai terlalu panjang dan belum pernah berlaku sebelum ini.

The Star semalam memetik Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee sebagai berkata tempoh keseluruhan 53 hari antara pembubaran dan hari pengundian hampir mencapai had maksimum 60 hari yang dibenarkan oleh Perlembagaan Sabah. Katanya, ia merupakan tempoh terpanjang sejak jangka masa pilihan raya negeri dikurangkan daripada 90 hari pada 1980-an.

Menurut Yong, tempoh menunggu yang luar biasa panjang itu menunjukkan parti-parti dari Semenanjung, khususnya PKR, memerlukan lebih masa untuk menyelesaikan isu dalaman dan pertikaian calon. Beliau turut menjangka pilihan raya itu sengaja ditangguhkan sehingga selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada 26 dan 27 Oktober.

Bekas Ketua Menteri itu turut mengingatkan bahawa keadaan kerajaan sementara akan menyebabkan pelabur sektor swasta menangguhkan aktiviti ekonomi, sekali gus menjejaskan ekonomi negeri.

Bagaimanapun, beliau melihat tempoh berkempen yang panjang memberi peluang kepada parti-parti tempatan untuk memperkukuh jentera dan menyatukan kekuatan akar umbi. SAPP, katanya, akan memanfaatkan masa tambahan itu untuk mendekati pengundi secara langsung berikutan kekangan akses kepada media arus perdana dan sumber kewangan.

Yong menegaskan, hubungan peribadi dan komunikasi secara bersemuka penting untuk menambat hati rakyat, sambil menyindir kehadiran pemimpin Persekutuan yang datang “memancing undi” di Sabah.

Sementara itu, Presiden Sabah STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan turut menyuarakan rasa hairan terhadap jurang panjang sebelum hari penamaan calon, walaupun partinya tidak membantah tarikh pengundian yang ditetapkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis mengumumkan hari penamaan calon pada 15 November dan hari mengundi pada 29 November.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *