KOTA KINABALU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee yakin rakyat negeri ini sudah cukup matang dan bersedia melakukan perubahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 demi masa depan yang lebih baik.
“Inilah masanya untuk rakyat Sabah bangkit bersama PN demi membina sebuah negeri yang stabil, cekap lagi bermaruah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kiandee, yang juga Ahli Parlimen Beluran turut menegaskan bahawa PN telah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRN ini.
“Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah telah lama dinantikan oleh rakyat Sabah kerana ia akan membuka ruang kepada rakyat untuk menentukan semula hala tuju negeri yang baharu.
“PN yakin rakyat Sabah sudah cukup matang dan bersedia untuk melakukan perubahan demi masa depan yang lebih baik dengan memilih kerajaan negeri baharu,” katanya lagi.
