LUMADAN: Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN N.34 Lumadan, Datuk Mohd Nazri Abdullah berjanji untuk menyalurkan semula gaji bulanannya kepada rakyat Lumadan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menurutnya, pengagihan itu akan dibuat secara telus dengan 30 peratus disalurkan kepada golongan muda, 30 peratus kepada golongan wanita, manakala selebihnya kepada masyarakat umum di Lumadan.
“Ini komitmen saya kepada rakyat Lumadan. Jika diberikan kepercayaan, gaji saya akan dikembalikan kepada rakyat sebagai tanda tanggungjawab untuk memajukan kawasan ini,” katanya kepada UMNO Online.
Mohd Nazri menegaskan komitmen untuk melaksanakan manifesto BN Sabah yang telah dilancarkan, yang menurutnya lengkap dan merangkumi keperluan pembangunan serta kesejahteraan rakyat.
“Tinggal lagi pelaksanaan. Kita mahu pastikan manifesto ini benar-benar berjalan, terutama bagi masyarakat luar bandar. Apa yang ada, kita akan tambah baik,” tambahnya.
Beliau turut menyeru para pengundi agar menilai rekod perkhidmatan parti sebelum membuat keputusan.
“Kita perlu melihat trek rekod sesebuah parti dan isu semasa. BN mempunyai sejarah pentadbiran yang baik di Sabah. Jika mandat dikembalikan kepada BN, kami akan lakukan yang terbaik untuk masa depan rakyat dan negeri,” katanya.
Berkaitan dengan perjalanan kempen, Mohd Nazri turut menyatakan suasana di kawasan tersebut berlangsung dengan penuh muhibah tanpa sebarang unsur fitnah atau serangan peribadi.
“Kempen di sini sangat positif. Semua calon mempromosikan diri dan parti masing-masing secara matang. Golongan muda juga memberikan respons yang baik serta terbuka menerima pandangan,” ujarnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
