PRN Sabah: MUDA ingin tanding 10 kerusi

KOTA KINABALU: Dengan memberikan tumpuan kepada kawasan bandar Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) berhasrat bertanding maksimum 10 kerusi pada PRN Sabah yang akan datang.

Pemangku Ketua Muda Sabah, Faezrah Rizalman, dipetik oleh Sinar Harian sebagai berkata, pihaknya sebelum ini telah mencuba di luar bandar dan kali ini berkemungkinan akan mengalih tumpuan.

“Kita akan lihat kemampuan dan keadaan semasa. Jadi, mungkin kita akan bertanding di tidak lebih daripada 10 kerusi.

“Kali ini, kita cuba fokus di kawasan bandar sedikit. Sebelum ini, kami telah mencuba di luar bandar dan mungkin kali ini tumpuan akan lebih kepada kawasan yang lebih maju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar sempena majlis Pelancaran Teroka oleh Muda Sabah di sini pada Ahad.

Faezrah berkata keahlian parti itu di Sabah kini adalah sekitar 5,000.

“Memandangkan kami adalah parti kecil dengan keahlian sekitar 5,000, sumber tenaga agak terhad. Oleh itu, kami terpaksa kreatif dengan kempen secara dalam talian.”

Pada PRU15 2022, Muda meletakkan calon tunggal di Parlimen Kota Marudu, namun tewas dalam pertandingan enam penjuru.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *