PRN Sabah: Nik Mohd Nadzri seru penduduk Keningau beri peluang kepada BN

KENINGAU: Ketua UMNO Bahagian Keningau, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi, menyeru penduduk Sabah khususnya di kawasan P.180 Keningau agar memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk kembali mentadbir negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata demikian ketika sesi “Sembang Santai” bersama penduduk Kampung Tuarid Liawan, pada Rabu dengan menekankan kepentingan memilih pemimpin yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat, bukan sekadar hadir ketika musim pilihan raya.

“Kita mahu pemimpin yang bekerja, memahami masalah rakyat dan melaksanakan amanah dengan ikhlas. Berikan BN peluang untuk kembali mentadbir, dan tentunya kita akan lakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Nik Mohd Nadzri turut menambah bahawa BN mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran dan rekod kukuh dalam membangunkan infrastruktur, pendidikan, serta peluang ekonomi di luar bandar.

“Sabah ini negeri yang kaya dengan hasil, tetapi rakyat mesti dapat manfaatnya. Kita mahu pastikan pembangunan sampai ke kampung-kampung, bukan hanya tertumpu di bandar,” jelas beliau lagi.

Beliau turut menekankan bahawa keutamaan BN di Sabah adalah memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan, terutama di kawasan pedalaman seperti Keningau yang menjadi nadi pertanian dan perhubungan bagi daerah-daerah berhampiran.

Sesi santai itu turut dihadiri oleh kepimpinan UMNO tempatan, Wanita, Pemuda dan Puteri serta penduduk kampung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November, manakala tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Sabah mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

DUN Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *