KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi sesi 2025/2028 semalam menyaksikan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar dan empat Naib Presiden PKR dilantik mengetuai jentera parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Biro Politik PKR dalam kenyataan berkata, Nurul Izzah serta Naib Presiden iaitu Datuk Seri Amirudin Shari, Datuk Seri Aminuddin Harun, Chang Lih Kang dan Datuk Seri Ramanan Ramachandran diberikan tugasan khusus bagi memastikan kemenangan parti dan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan Madani.
Selain itu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar-dasar yang bakal dibawa oleh pihak eksekutif serta impaknya terhadap kos sara hidup rakyat.
Ia turut memperhalusi langkah susulan bagi memastikan manfaat kepada rakyat sentiasa menjadi keutamaan parti.
Bagi memastikan kelangsungan persediaan pilihan raya Sabah, bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Mustapha Sakmud akan terus menjalankan tugas sebagai Pengerusi Negeri Sabah sementara menunggu pelantikan barisan kepimpinan MPN yang baharu.
Datuk Peto Galim pula akan meneruskan tanggungjawab sebagai Pengarah Jawatankuasa Pilihan Raya Negeri (JPRN) Sabah, menurut biro itu.
Biro berkenaan turut memaklumkan bahawa mesyuarat membuat ketetapan supaya Fuziah Salleh dan William Leong terus menjalankan tugas masing-masing sebagai Setiausaha Agung dan Bendahari Agung PKR sehingga barisan kepimpinan baharu dilantik dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat akan datang.
Pada Sabtu lepas, Anwar dilaporkan menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baharu akan mampu mengangkat keupayaan untuk menjadi lebih baik daripada apa yang pernah dicapai.
