SANDAKAN: Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan menegaskan bahawa parti itu konsisten bersama Perikatan Nasional (PN) dan mengutamakan muafakat politik bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN).
Menurutnya, segala perbincangan masa depan khususnya bagi menghadapi PRN akan mengutamakan kerangka gabungan tersebut.
Katanya, suasana politik masih terbuka kerana tiada parti yang benar-benar memuktamadkan gabungan atau kerjasama.
Namun bagi PAS, ujarnya segala perbincangan akan terus berpaksikan kepada PN.
Mengenai kedudukan PAS di dalam kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS), beliau menyifatkan, parti Islam itu masih sebahagian daripada parti yang mesra GRS dan ini berdasarkan pada sejarah politik bermula tahun 2020.
“Apa yang akan berlaku dalam PRN17, jika saya melihat parti-parti yang lain, semua masih belum ada satu keputusan yang pasti. Masing-masing masih mencari kawan, gabungan dan sebagainya,” ujarnya ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Keluarga Sandakan 2025, di sini kelmarin.
Tambahnya, dalam konteks di negeri Sabah, yang jelas PAS tetap berada dalam PN.
Dr Aliakbar turut memberi peringatan agar semangat kenegerian yang melampau tidak dibangkitkan, kerana ia boleh mengancam perpaduan nasional.
“Kadang-kadang menjelang pilihan raya, kita seolah-olah terpisah di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Saya mengingatkan, semangat Malaysia harus subur dan dipupuk supaya kita merasai negara ini milik kita dan kita membangunkan negara ini bersama-sama.
“Kerisauan saya jangka panjang sekiranya kita terlalu bangkitkan semangat kenegerian, akhirnya akan berlaku perkelahian ataupun segregasi yang lebih besar di antara setiap wilayah dalam Malaysia,” ujar beliau yang juga ADUN Dilantik.
Beliau berkata, bagi menghadapi PRN akan datang, PAS belum menetapkan jumlah kerusi yang akan ditandingi dan masih belum memulakan sebarang rundingan rasmi.
Tambahnya, PAS Sabah tidak memutuskan jumlah kerusi secara spesifik tetapi yang pastinya akan bertanding untuk PRN17 nanti.
Menurutnya, PAS akan mengetengahkan calon yang berwibawa dan jujur, serta mempunyai latar belakang kefahaman agama yang kukuh, termasuk kesedaran terhadap soal dosa dan pahala.
Katanya, hanya pemimpin yang memahami tanggungjawab kepimpinan sebagai satu amanah akan menjauhi amalan rasuah dan salah guna kuasa.
Tambahnya, walaupun PAS belum pernah memenangi kerusi di Sabah, parti itu akan terus menjalankan kerja-kerja kebajikan dan dakwah, serta menyerahkan kepada rakyat untuk menilai.
“Sekiranya usaha itu dirasakan baik, maka mereka mengharapkan sokongan yang baik daripada rakyat,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY
