KOTA KINABALU: PAS mengesahkan bahawa parti itu akan bertanding di lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata proses pemilihan calon kini berada pada peringkat akhir, dengan persiapan sedang giat dijalankan di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti.
“Saya dimaklumkan bahawa PAS akan bertanding di lima kerusi, dan salah satu daripadanya ialah kerusi Dewan Undangan Negeri Karambunai.
“Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan (gambar) sendiri akan bertanding di kawasan tersebut kerana ia dianggap mempunyai potensi kemenangan yang tinggi,” katanya sebagaimana dilaporkan The Star.
Mohd Amar dilaporkan berkata demikian pada sidang media di Kota Darulnaim, Kelantan pada Rabu.
Beliau berkata perbincangan terkini menunjukkan bahawa Perikatan Nasional (PN) dijangka bertanding di keseluruhan 40 kerusi dalam PRN Sabah, walaupun pengumuman rasmi hanya akan dibuat pada 11 November.
Katanya, semua calon akan bertanding menggunakan logo PN.
Sementara itu, Mohd Amar berkata PAS yakin bahawa Perikatan mampu menawarkan pembaharuan dan imej baharu kepada rakyat Sabah selepas bertahun-tahun berdepan pelbagai isu yang membelenggu negeri tersebut.
“Pendekatan Perikatan di Sabah adalah membawa reformasi dan perubahan sebenar. Isu terbesar di Sabah ialah rasuah dan soal peruntukan, bukan kerana tiada dana, tetapi kerana ia tidak sampai kepada rakyat,” katanya.
Mengenai operasi kempen, beliau berkata jentera PAS dari Semenanjung Malaysia akan digerakkan bagi memastikan kemenangan PN.
