PRN Sabah: Pejuang akan umum rakan kerjasama tidak lama lagi

KOTA KINABALU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dijangka akan membuat pengumuman rasmi tidak lama lagi mengenai rakan politiknya untuk menghadapi pilihan raya negeri (PRN) Sabah akan datang.

Utusan Malaysia dalam laporannya semalam memetik presiden parti itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai berkata Pejuang telah memutuskan rakan politiknya untuk PRN tersebut.

Mukhris juga berkata parti itu perlu membentuk “pakatan” dengan parti-parti politik lain di Sabah memandangkan ia bukan sebuah parti yang besar.

“Apa yang menarik ialah Pejuang mempunyai keahlian yang kukuh di Sabah.

“Saya tidak menjangkakan sokongan yang besar di sana, tetapi sebaliknya yang berlaku,” katanya selepas menghadiri rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pejuang di Putrajaya semalam.

Antara turut hadir, Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr Radzi Jidin; Naib Presiden MIC, Datuk M Asojan dan Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon.

Mukhriz bagaimanapun mengakui bahawa parti itu agak kurang berpengaruh disebabkan persaingan daripada parti-parti Melayu lain di negara ini.

“Kami percaya bahawa apa sahaja yang kami lakukan mesti memberi nilai tambah kepada politik Melayu.

“Kami berhasrat untuk menyertai proses demokrasi negara, sama ada secara bebas atau melalui kerjasama dengan parti-parti lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *