TAWAU: Spekulasi pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 masih belum muktamad setakat ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, setakat ini tiada sebarang keputusan rasmi daripada kedua-dua pihak berkaitan pembahagian kerusi DUN.
Katanya, dakwaan GRS bakal bertanding di 52 kerusi manakala PH diperuntukkan 21 kerusi dalam PRN akan datang hanya sekadar spekulasi orang ramai sahaja.
“Pada pandangan saya, sebelum ada pengumuman secara muktamad daripada pihak-pihak yang berkaitan, maka itu bolehlah kita katakan sebagai cerita-cerita politik ataupun spekulasi semata-mata.
“Spekulasi politik seperti itu adalah perkara biasa menjelang pilihan raya, namun seharusnya ditanggapi secara rasional dan tidak menjejaskan fokus terhadap pembangunan serta perpaduan negeri,” katanya.
Beliau berkata yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata demikian ketika ditemui dalam Pesta Kebudayaan Hari Bergembira Etnik Tidung Borneo Sabah 2025, semalam.
Menurutnya, keputusan pembahagian kerusi DUN akan diumumkan tidak lama lagi dan ia bergantung kepada pucuk pimpinan GRS dan PH.
“Saya percaya Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor selaku Ketua Menteri dan Pengerusi GRS, keputusan terbaik akan diambil demi manfaat rakyat dan negeri Sabah secara keseluruhan.
“Dalam situasi politik hari ini, keutamaan adalah untuk memastikan suara dan aspirasi rakyat Sabah terus diberi perhatian.
“Sentimen lokal juga harus diangkat bagi memastikan kepimpinan negeri benar-benar dipacu oleh anak-anak Sabah yang memahami adat, budaya dan keperluan rakyat di seluruh pelusuk negeri,” katanya.
Mengulas mengenai pesta ini, Nizam berkata, kepelbagaian budaya Sabah adalah kekuatan yang perlu dipertahankan demi perpaduan dan keharmonian negeri.
“Penganjuran ini juga membuktikan bahawa kebudayaan bukan sekadar tinggalan sejarah, malah nadi penting dalam pembentukan jati diri dan memupuk persefahaman daam kalangan rakyat di negeri Sabah.
Oleh
Hamzah Sanudin/Utusan Borneo
