PRN Sabah: Pemuda UMNO Tawau teguh pertahan prinsip, tolak pengkhianatan politik

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO Tawau, Rushamizan Rustam (gambar) menegaskan, perjuangan pergerakan terbabit kekal berpaksikan kepada prinsip kesetiaan, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat.

Katanya, episod pengkhianatan politik tersebut menjadi pengajaran besar kepada semua pihak bahawa kestabilan negeri tidak boleh dibina di atas dasar ketamakan dan kepentingan peribadi.

“Pemuda UMNO Tawau akan terus berdiri teguh di belakang kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam memperjuangkan kebangkitan semula BN di Sabah. Kejatuhan kerajaan BN pada tahun 2018 bukanlah berpunca daripada penolakan rakyat. Sebaliknya ianya berpunca akibat pengkhianatan politik oleh wakil rakyat yang melompat parti selepas menang atas tiket BN.

“Fakta sejarah membuktikan bahawa BN Sabah memperoleh majoriti pada malam keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018. Namun, mandat itu dikhianati oleh segelintir pemimpin yang memilih kepentingan diri dan kuasa, sekali gus menafikan kehendak rakyat yang telah memberi kepercayaan kepada BN.

“Inilah realiti pahit politik Sabah… mandat rakyat dijadikan alat tawar-menawar kuasa. Pemimpin yang tidak berprinsip menukar kesetiaan seumpama menukar baju, dan akhirnya menjadikan rakyat sebagai mangsa percaturan politik yang tidak berkesudahan. Cukuplah rakyat menjadi mangsa permainan politik. Sudah tiba masanya kita kembalikan maruah politik Sabah dengan kepimpinan yang berprinsip dan berpaksikan perjuangan sebenar untuk rakyat,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Rushamizan menegaskan bahawa politik seumpama ini perlu dihentikan sekiranya Sabah ingin maju dan stabil.

“Budaya lompat parti hanya mengundang ketidaktentuan politik, menakutkan pelabur dan menggagalkan dasar pembangunan yang dirancang untuk rakyat.

“Generasi muda hari ini sudah semakin matang. Mereka menolak politik hipokrasi dan sandiwara kuasa. Anak muda mahu pemimpin yang berprinsip, bukan pelompat politik yang berselindung di sebalik slogan perubahan,” katanya lagi.

Tambah beliau, BN bukanlah parti yang muncul semalam, tetapi parti yang telah membina asas kemajuan Sabah serta membina insfrastruktur negeri seperti jalan raya, sekolah, universiti hingga peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

“BN bukan sekadar membawa slogan, tetapi melaksanakan dasar dan projek yang memberi manfaat langsung kepada rakyat. Ini termasuk pembangunan luar bandar, pembinaan kemudahan asas, serta peluang ekonomi yang membuka ruang kepada masyarakat Sabah untuk maju seiring negeri-negeri lain.

“BN telah melalui pelbagai fasa pembangunan sejak dahulu lagi, malah menjadi tunjang kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi negeri ini. Kita tidak boleh menafikan sumbangan besar BN dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” ujarnya.

Pada masa yang sama kata beliau lagi, Pemuda BN akan terus menjadi benteng kepada perjuangan parti dan terus siap siaga bagi hadapi PRN Sabah

“Pemuda BN kini bersiap siaga menghadapi PRN Sabah dengan tekad memperjuangkan politik bermaruah, kepimpinan muda yang progresif dan kestabilan sebenar. Rakyat tidak lagi mahu diperdaya oleh drama politik yang berulang.

“Kita mahu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap politik yang matang dan berasaskan khidmat, bukannya permainan persepsi. Sudah tiba masanya suara generasi muda diberikan ruang dan peluang untuk menerajui perubahan melalui wadah yang jelas serta berprinsip,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *