KUNDASANG: Barisan Nasional (BN) menerima sokongan dengan kemasukan lebih 90 ahli baharu dari Kampung Kirokot yang nekad menyertai Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) demi menyuarakan hasrat untuk mendapatkan pembangunan dan taraf hidup lebih baik.
Kemasukan itu turut menjadi tanda sokongan penuh mereka kepada calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Kundasang, Japirin Sahadi, yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketika lawatan Japirin ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kirokot iaitu sebuah kawasan kampung pedalaman dengan keadaan jalan tidak berturap, Respin Akau mewakili penduduk menyerahkan borang keahlian tersebut.
“Baru saya serahkan tadi kepada calon BN sebanyak 56 helai borang, dan ada lagi lebih 40 borang yang akan diserahkan tidak lama lagi,” katanya.
Menurut Respin, keputusan penduduk Kampung Kirokot untuk menyokong BN didorong oleh harapan agar pemimpin baharu dapat memperbaiki infrastruktur jalan di kawasan mereka.
“Kami mahukan perubahan kerana keadaan jalan di sini memang teruk. Kami mahu wakil rakyat dari BN berjaya menjadi ADUN seterusnya di Kundasang ini,” ujarnya.
Difahamkan, walaupun Kampung Kirokot tidak terlalu jauh dari Pekan Ranau, perjalanan mengambil masa lebih sejam akibat jalan tidak berturap. Sebahagian laluan masih berupa jalan tanah merah yang sempit, manakala selebihnya jalan berbatu kerikil yang luas tetapi tidak diselenggara dengan baik. – UMNO Online
