PRN Sabah: PH tiada ‘poster boy’

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa gabungan itu tidak berhasrat untuk membentuk kerajaan negeri Sabah memandangkan mereka hanya bertanding di 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum DUN Sabah ke-17.

Oleh itu ia tidak mempunyai calon ketua menteri, sekali gus tiada ‘poster boy’, kata Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Loke berkata, perkara itu telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa PH bukan gabungan dominan di Sabah.

“Fokus utama PH adalah untuk berperanan sebagai jambatan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat, khususnya dalam memastikan hubungan harmoni bagi membolehkan pelaksanaan agenda pembangunan Sabah berjalan lancar,” katanya pada sidang media di pejabat DAP di Luyang dekat sini, hari ini.

Tambah beliau, gabungan berharap agar wakil PH, dari PKR dan DAP, dipilih ke DUN baharu supaya mereka dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri yang bakal dibentuk dalam membentuk kerjasama politik yang stabil dan progresif.

Menurut beliau, hubungan baik antara kerajaan negeri dan pusat adalah penting bagi memastikan isu-isu utama Sabah, termasuk tuntutan 40 peratus hasil, dapat diselesaikan dengan berkesan.

“Sebuah kerajaan negeri yang mengambil pendekatan konfrontasi terhadap kerajaan pusat hanya akan mewujudkan suasana politik tidak produktif dan menghalang penyelesaian masalah jangka panjang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *