KOTA KINABALU: Ketua PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyangkal dakwaan bahawa Pakatan Harapan (PH) Sabah menuntut jumlah kerusi yang besar dalam kerjasamanya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang PRN Sabah akan datang.
Beliau berkata PH Sabah tidak pernah berhasrat menuntut banyak kerusi mengutamakan kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan.
Katanya, PH bersedia berdepan sebarang kemungkinan susulan penamatan keanggotaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP) daripada GRS, sambil menyatakan harapan agar parti komponen yang masih kekal akan terus bersatu.
“Apa yang penting ialah kita pastikan kestabilan politik di negeri dan negara kita,” katanya sebagaimana dilapor oleh FMT yang memetik Borneo Post.
Mustapha menjelaskan demikian ketika ditanya mengenai STAR dan SAPP yang meninggalkan GRS kerana tidak bersetuju gabungan itu menjalin kerjasama politik dengan PH.
Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata rundingan mengenai pembahagian kerusi masih berjalan dan dijangka selesai sebelum pembubaran DUN.
Beliau juga berkata, PKR akan mempertahankan kerusi sedia ada termasuk Api-Api dan Inanam yang masing-masing disandang Datuk Christina Liew dan Datuk Peto Galim.
“Calon-calon masih dinilai. Presiden PKR dijangka akan membuat pengumuman bila tiba masanya,” katanya.
