PRN Sabah: Pilih pemimpin beramanah – Sahar

SANDAKAN: Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Setiausaha PAS negeri, Sahar Abdul Majid menyarankan kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang beramanah bagi membina masyarakat yang harmoni.

“Di sinilah kita diajar dalam menentukan dan memilih pemimpin yang boleh membela kita dari sudut ekonomi, sosial dan yang paling penting membina masyarakat yang cintakan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam program Kenduri Sekampung di Kampung Bambu, dekat sini kelmarin.

Menurutnya, program itu adalah bertujuan untuk menyatukan hati dan ukhwah di antara penduduk kampung.

“Melalui program ini kita dapat membina masyarakat yang harmoni dan juga aman,” ujarnya.

Dalam program tersebut, penduduk Kampung Bambu teruja dengan kehadiran kepimpinan PAS Kawasan Libaran serta rombongan bagi memeriahkan Kenduri sekampung.

“Dalam program ini juga kita berjaya mengorbankan seekor kerbau bagi menjayakan program ini,” katanya.

Program turut dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang merangkap ADUN Tanjung Lumpur, Dato’ Rosli Abdul Jabar dan Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor.

Pada 6 Julai lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya memaklumkan bahawa penggal semasa DUN Sabah akan tamat secara automatik pada 11 November 2025, menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal, maka DUN akan terbubar secara automatk pada tarikh itu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengadakan PRN baharu,” katanya. – HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *