KOTA KINABALU: PKR Sabah menyasarkan 13 daripada 73 kerusi dalam pilihan raya negeri akan datang.
Walau bagaimanapun, ketuanya Datuk Mustapha Sakmud berkata perbincangan mengenai perkaran itu masih berjalan dalam kalangan parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH).
“Masih terdapat pertindihan antara parti-parti Pakatan, jadi perkara ini belum dimuktamadkan,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh The Star semalam.
Mustapha bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kerusi mana yang disasarkan oleh parti itu.
PKR kini menduduki dua kerusi DUN iaitu Inanam, yang diwakili oleh Datuk Peto Galim dan Api-Api, yang diduduki Datuk Christina Liew.
Sementara itu, menurut The Star lagi, Mustapha, yang juga Ahli Parlimen Sepanggar dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, mengecam tindakan membakar karikatur Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa protes Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini.
Beliau turut menggesa agar siasatan segera dijalankan terhadap insiden tersebut.
Protes yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 22 Jun lalu menyaksikan beberapa pelajar membakar karikatur Anwar sebagai bantahan terhadap dakwaan rasuah dan isu tadbir urus.
Anwar kemudiannya menggesa UMS supaya tidak membuang pelajar-pelajar yang terlibat, sambil menyatakan bahawa walaupun protes itu tidak wajar, ia tidak sepatutnya dikenakan tindakan disiplin yang keras.
Mustapha berkata adalah menjadi hak Anwar untuk bertindak mengikut pertimbangannya.
“Itu hak beliau. Pada saya, tindakan membakar karikatur itu adalah keterlaluan,” katanya.
