KOTA KINABALU: Perikatan Nasional (PN) dijangka bertanding sehingga 40 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) hujung bulan ini. Senarai penuh calon akan diumumkan pada 11 November, bersempena pelancaran jentera pilihan raya PN di seluruh Sabah.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata proses memuktamatkan pengagihan kerusi melibatkan tiga parti komponen PN iaitu PAS, Bersatu dan Gerakan sedang diselesaikan. Menurut beliau, calon yang dipilih perlu menandatangani surat ikrar “Aku Janji” sebelum menerima watikah pelantikan sebagai komitmen terhadap disiplin dan kesetiaan kepada gabungan.
Beliau turut menegaskan bahawa isu dalaman yang sedang melibatkan Bersatu di peringkat pusat tidak memberi kesan kepada persiapan PN di Sabah. Katanya, perkara tersebut merupakan urusan dalaman parti berkenaan dan diyakini dapat diselesaikan melalui mekanisme parti.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Sabah, Tan Sri Annuar Musa, serta Pesuruhjaya PAS Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan.
Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa PN pada masa ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjasama dalam kalangan parti komponennya, manakala sebarang pertimbangan untuk bekerjasama dengan parti lain hanya akan dibuat selepas keputusan PRN17 diumumkan.
“Kita fokus untuk memenangi pilihan raya atas tiket PN terlebih dahulu. Soal kerjasama atau gabungan lain akan dipertimbangkan kemudian berdasarkan keputusan pilihan raya,” katanya.
