PRN Sabah: Ruang untuk memilih kerajaan baharu – Salleh

KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah secara rasmi telah dibubarkan, sekali gus membuka ruang kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan dalam tempoh terdekat.

Pembubaran ini menandakan bermulanya persaingan terbuka antara parti-parti politik yang dijangka menampilkan calon serta tawaran masing-masing kepada rakyat.

Menurut Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, penilaian rakyat kali ini tidak akan hanya bergantung kepada janji, tetapi juga kepada prestasi lampau serta kewibawaan calon yang diketengahkan.

“Perdebatan mengenai parti tempatan dan parti nasional pasti akan muncul kembali. Namun hakikatnya, parti-parti tempatan sendiri tidak bersatu dan turut bertanding sesama mereka,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa apa yang paling diinginkan rakyat ialah sebuah kerajaan yang stabil – tidak mudah tumbang, mampu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan, dan benar-benar fokus membantu rakyat.

Salleh berkata Sabah memerlukan halatuju yang jelas untuk menarik pelaburan, menyelesaikan masalah prasarana asas, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, serta menjamin masa depan generasi muda.

“Akhirnya, undi rakyat akan menjadi penentu. Pilihlah pasukan yang membawa kestabilan – bukan kekeliruan,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *