KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor masih berteka-teki mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri, namun mengesahkan sidang DUN selama dua hari yang berakhir hari ini merupakan yang terakhir sebelum dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Sinar Harian dalam laporannya hari ini memetik Hajiji sebagai berkata pengumuman rasmi akan dibuat kepada media dalam masa terdekat.
“Kira-kira begitulah. Tarikh itu saya tidak boleh maklumkan sekarang. Tunggu apabila sudah ditetapkan, kita akan panggil semua rakan media untuk umumkan tarikhnya.
“Sabar, tidak lama lagi. Jangan tanya bulan. Jangan anggap ia automatik. Itu terpulang kepada Ketua Menteri. Saya perlu ‘bermimpi’ dahulu untuk tahu bila tarikh paling baik,” kata Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu secara berseloroh kepada pemberita selepas menghadiri sidang DUN di sini pada Selasa.
