PRN Sabah: STAR sasar bertanding 15 kerusi

KOTA KINABALU: Parti STAR Sabah menyasarkan untuk bertanding 15 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang, kata presidennya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Kenyataan itu menyusul selepas parti-parti politik mula menyatakan sasaran jumlah kerusi yang akan ditandingi sebelum rundingan rasmi dibuat dalam kalangan gabungan yang mereka sertai, di mana PKR berhasrat bertanding di 13 kerusi, DAP di 10 kerusi dan Amanah menyasarkan empat kerusi.

Beberapa hari lepas Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah juga telah memberi bayangan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyasarkan sekurang-kurangnya 52 kerusi, meninggalkan baki 21 untuk rakan gabungan yang berpotensi bekerjasama dengan GRS.

The Star melaporkan Kitingan berkata pengumuman mengenai sasaran jumlah kerusi yang ingin ditandingi itu bukanlah perkara ‘luar biasa’.

“Ini perkara biasa dalam politik. Pada dasarnya, setiap parti mahu bertanding di kesemua 73 kerusi.

“Masing-masing ada kepentingan sendiri. Tiada yang salah tentang itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Iklan TV sempena Pesta Kaamatan anjuran Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di sini, pada Selasa.

Apabila ditanya mengenai bilangan kerusi yang disasarkan oleh Sabah STAR, Kitingan berkata: “Itu bukan rahsia, 15. Sebagai parti, kami mahu bertanding. Tetapi sudah tentu, dalam gabungan, pengagihan kerusi adalah perlu.

“Kami akan bahagikan kerusi berdasarkan perubahan semasa dan keyakinan terhadap peluang kemenangan kami,” tambah beliau.

Kitingan turut mengulas mengenai perbincangan yang sedang berlangsung dengan sekutu dalam GRS, termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS).

Pada April tahun lalu, Sabah STAR dan PBS telah mengambil langkah pertama untuk menjalin perpaduan politik yang telah lama diidamkan oleh komuniti peribumi sejak tiga dekad lalu.

Dua parti utama itu, yang masing-masing dipimpin oleh Kitingan dari Sabah STAR, dan PBS oleh pemangku presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pilihan raya akan datang.

“Kami kini sedang berbincang dengan PBS dan juga dalam kumpulan kami sendiri bagi mengelakkan pertindihan kerusi. Dalam GRS, kami perlu selesaikan perkara secara dalaman dahulu sebelum berbincang dengan pihak luar. Itu adalah prosesnya.

“Perbincangan ini akan diteruskan sehingga semuanya selesai. Ia satu proses yang baik,” katanya sambil menyuarakan harapan agar semua pembahagian kerusi dapat dimuktamadkan sebelum pilihan raya diumumkan secara rasmi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *