PRN Sabah: Tawaran PN berteras kesejahteraan rakyat

KALABAKAN: PAS Sabah mahu rakyat negeri ini melihat Perikatan Nasional (PN) membawa perubahan yang sebenar.

Justeru, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Dullah berkata, tawaran yang dibawa PN adalah berteraskan kesejahteraan rakyat.

“Kita mahu rakyat Sabah melihat bahawa PN bukan sekadar bersedia dari sudut organisasi, tetapi hadir dengan tekad membawa perubahan yang sebenar.

“Tawaran kita adalah berteraskan kesejahteraan rakyat serta pentadbiran yang telus dan bebas rasuah,” tegasnya.

Beliau menyatakan demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Pelancaran Jentera PN kawasan Tawau-Kalabakan bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Pejabat PAS kawasan, di sini malam tadi. (Foto)

Menurutnya, mesyuarat itu adalah langkah awal sebelum pelancaran rasmi Jentera PN Tawau-Kalabakan, dengan penekanan kepada penyusunan struktur jentera di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan penyelarasan antara kawasan.

Mesyuarat itu dihadiri wakil-wakil utama daripada kedua-dua parti komponen PN bagi kawasan Parlimen Tawau dan Kalabakan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Nurjannah Jam Jam dan Naib Ketua Srikandi BERSATU negeri, Samsuri Rasid.

Ahmad menegaskan bahawa pertemuan tersebut bukan sekadar penyelarasan teknikal jentera, bahkan mencerminkan iltizam dan kesatuan antara PAS dan BERSATU dalam membawa tawaran politik yang segar, bersih dan berintegriti kepada rakyat Sabah.

Tambahnya, mesyuarat tersebut akan disusuli beberapa siri program jelajah dan pertemuan susulan, termasuk pelancaran rasmi Jentera PN peringkat kawasan sebagai persiapan rapi menempuh gelanggang Pilihan Raya Negeri ke-17 yang kian hampir.

Sementara itu, Ketua BERSATU Bahagian Kalabakan, Mohd Eqbal Khalid menyambut baik penganjuran mesyuarat itu yang disifatkan sebagai sangat penting kepada jentera akar umbi dalam memperhalusi hala tuju perjuangan PN.

“Ini adalah pertemuan yang amat dinanti-nantikan. Ia bukan sahaja memperkukuh kerjasama strategik antara PAS dan BERSATU, malah menjadi medan menyusun gerak kerja menghadapi PRN dengan lebih tersusun dan berfokus.

“Saya amat selesa dan yakin untuk terus bekerjasama rapat dengan pasukan PAS dalam membawa agenda rakyat melalui platform PN,” katanya.

Tambah beliau, PN Sabah kini tampil dengan semangat baharu menerusi kempen bertemakan #KasiBagusSabah, yang mencerminkan tekad untuk membawa solusi tuntas terhadap pelbagai isu rakyat.

“Slogan ini bukan sekadar laungan, tetapi membawa perancangan strategik yang didukung oleh tenaga kerja berpengalaman, berintegriti dan berjiwa rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, PAS Sabah kini aktif memulakan mobilisasi awal menerusi pendekatan tersusun dan inklusif, seiring dengan semangat PN yang menawarkan kepimpinan berasaskan nilai, kestabilan, dan amanah.

Pada 6 Julai lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya memaklumkan bahawa penggal semasa DUN Sabah akan tamat secara automatik pada 11 November 2025, menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sabah.

“Sekiranya tiada pembubaran dibuat lebih awal, maka DUN akan terbubar secara automatk pada tarikh itu. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mempunyai tempoh maksimum 60 hari untuk mengadakan PRN baharu,” katanya.– HARAKAHDAILY

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *